Tuesday, November 6, 2018

Saja Cerita

Bersarapan di kedai Mamak bersama Tuan Suami sebelum kami berpisah untuk menjalankan tugas masing-masing.

Meggi goreng, tosai bersama nescafe dan kopi jadi pengalas perut kami. Di meja sebelah, seorang Uncle berbangsa Cina sedang menikmati Teh Tarik gelas besar sambil membaca akhbar bertulisan cina. Kemas berkemeja petak-petak berwarna cokelat putih dan berseluar warna cokelat gelap.

Sesekali beliau menganggukkan kepala sambil membaca. Tiba-tiba jejari tangannya digenggam dan ditarik pantas menghampiri dada, seolah menyatakan, ‘Yes!’.

Tersenyum sendiri melihat aksi luar kawalannya. Entah apa yang menarik pada ruangan petak-petak bernombor yang tekun diperhatikannya.

Bunyi hon kereta secara tiba-tiba menarik perhatian ramai . Kelihatan sebuah kereta Myvi berwarna putih dipandu lelaki berbangsa India berhenti dihadapan kereta Melayu, seolah menghalang. Keluar gadis Melayu dengan wajah kerisauan, terus membuka bonet belakang.

Pada masa yang sama, lelaki Melayu yang lebih tua juga keluar dari keretanya menuju ke pemandu India dengan dahi berkerut.

‘Drama apa ni? Jangan jadi apa-apa dah la’, bisik hati.

Pintu pemandu India di buka, mereka berjabat tangan dan berpelukan mesra! Seperti rakan lama. Anak gadisnya kemudian masuk ke kereta sambil membawa dua jambak bunga dan jubah. Kali ini wajahnya lebih ceria dan nampak girang bersembang dengan gadis India di dalam kereta.

‘Oh, musim konvo sekarang. Mesti tadi risau takut kawan lambat’, sekali lagi saya senyum sendiri.

Terpandang pula pasangan suami isteri Melayu agak berusia perlahan-lahan masuk ke restoran sambil berpegangan tangan. Mereka mengambil tempat di meja hadapan. Wanita muda duduk di meja sama mungkin anak mereka. Masing-masing berkasut sukan berjenama terkenal, kelihatan santai. Mungkin baru selesai riadah keliling Bukit Komanwel.

Senyum!
Masing-masing sentiasa sibuk dengan kehidupan sendiri. Semuanya berbeza, ada cerita yang tersendiri.

Motif?
Saja nak cerita suasana di kedai Mamak 😉

No comments:

Post a Comment

Manfaat Berjalan

Memang diketahui umum bahawa berjalan kaki merupakan aktiviti fizikal yang agak mudah untuk dilakukan. Murah tanpa memerlukan pembelian pel...