Friday, November 30, 2018

Manfaat Berjalan

Memang diketahui umum bahawa berjalan kaki merupakan aktiviti fizikal yang agak mudah untuk dilakukan. Murah tanpa memerlukan pembelian pelbagai barangan sukan lain dan boleh dilakukan dimana-mana sahaja.

Antara kebaikan berjalan selama 30 minit setiap hari ialah:
  1. Mengurangkan risiko penyakit jantung dan meningkatkan keupayaan sistem kardiovaskular
  2. Bantu kekalkan berat dengan pembakaran lemak badan melalui intensiti latihan yang secukupnya.
  3. Mengurangkan tekanan
  4. Boleh bantu meningkatkan kualiti tidur
  5. Tingkatkan tahap keseimbangan badan dan koordinasi
  6. Menguatkan tulang dan otot
  7. Meningkatkan kualiti hidup dengan merasakan diri lebih bertenaga dan ceria
  8. Melancarkan peredaran darah ke seluruh badan.


Semoga setiap langkah kita akan lebih memberi manfaat bukan sahaja kepada jantung, malah ke seluruh tubuh badan kita!

Anda Tau?

Berikut adalah anggaran tempoh masa yang diperlukan untuk proses pencernaan/ penghadaman makanan:

Sayur-sayuran antara 30-40 minit

Daging merah mengambil masa lebih kurang 180 minit.

Buah-buahan ambil masa antara 15-20 minit.

Air putih akan terus di proses, tanpa sebarang sekatan.

Kentang antara 90-120 minit.

Kekacang lebih kurang 180 minit.

Produk tenusu 120 minit.

Dengan mengetahui tempoh masa yang diperlukan untuk pencernaan/penghadaman, kita boleh rancang tempoh masa makan seterusnya atau masa untuk melakukan aktiviti senaman/fizikal supaya elak rasa tidak selesa pada perut.


Thursday, November 29, 2018

Hijrah

Belek-belek nota-nota lama di telefon, terjumpa nota dari ceramah Ustaz Elias Ismail hampir setahun yang lalu. Sekadar berkongsi dan moga bermanfaat.

HIJRAH kita adalah dari:
alam roh... 
alam rahim... 
alam dunia.... 
alam barzakh... 
alam kiamat... alam kebangkitan

Orang yang mati tidak semestinya akan ke kubur tetapi yang pastinya akan ke Barzakh.

Dalam Al-Quran, ada 28 kali perkataan HIJRAH dan salah satunya pada Surah An-Nisa ayat 100 maksudnya lebih kurang begini;

'Siapa yang berHIJRAH, maka Allah sediakan limpahan rezeki'

Haiwan penghijrah seperti Penyu dan Ikan Salmon juga menerima banyak limpahan rezeki. Sepanjang perjalanan sejauh 3,000km Penyu turut memberikan rezeki dalam pelbagai bentuk kepada manusia. 

Bangsa Jawa juga merupakan antara bangsa yang banyak berhijrah, maka sentiasa dikurniakan limpahan rezeki.

Panduan sebelum membuat keputusan:
1. Istiharah dengan Allah
2. Musyawarah dengan manusia terutamanya dengan ibu bapa.

Hidup mesti diteruskan, jangan takut untuk berhijrah, berpisah atau tidak berpeluang berjumpa lagi dengan orang-orang tersayang terutama sanak saudara. Paling penting; kita jumpa di Syurga nanti.

Berdoalah agar menjadi ibubapa yang sentiasa mudahkan urusan anak-anak. Jaga kesihatan diri sentiasa supaya nanti tidak jadi beban pada sesiapa.

Kerja makan gaji tak akan kaya sebab tertakluk pada 'Saya Yang Menurut Perintah'. Nak kaya, sila kerja sendiri dan buat peraturan sendiri. Hati-hati dengan salah guna barangan pejabat untuk kegunaan peribadi.

Hasil dari Penghijrahan adalah Rezeki.

Dalam hidup tidak ada yang mudah kecuali hati yang tabah.

Matlamat utama Hijrah ialah menuju ke arah:
1. Allah
2. Manusia
3. Kerja/alam/persekitaran
Semua kena seiringan.

Zaman Nabi ada seorang wanita yang rajin solat malam dan berpuasa di siang hari. Malangnya, dia menjadi penghuni neraka kerana suka bergaduh dengan jiran-jiran.
Jaga hubungan sesama manusia.

3 Golongan Yang Mendapat Balasan di dunia:
1. Derhaka kepada ibu bapa.
2. Golongan yang berbangga dengan kejahatan yang dilakukan.
3. Orang-orang zalim.
Aib di buka di dunia, tuhan bayar cash.

3 BENDA YANG KENA JAGA
1. Personal: jaga diri sendiri
2. Interpersonal: jaga diri dengan orang
3. Profesional: jaga diri dengan kerja

8 perkara berkaitan Hijrah:
1. Tambahkan ilmu: Haram biarkan diri dalam jahil
2. Tambah ibadah: bagi tuhan lebih sayang
3. Tinggalkanlah permusuhan
4.  Jaga pemakaian: aurat
5.  Tambah kenalan baru yang lebih soleh dan solehah
6.  Akhlak dan perangai makin bagus
7.  Kurangkan tidur: Rasullah berdoa agar dilimpahkan rezeki pada umat yang sentiasa berpagi-pagian
8. Meninggalkan sebarang bentuk penipuan.


Amal baik sebagai pencen akhirat.

Malaria Monyet

Sesi perkongsian ilmu di pejabat hari ini berkaitan Malaria Monyet (Malaria Knowlesi). Kita setakat ini hanya tau Malaria berkaitan dengan nyamuk. Kenapa Monyet? Kerana habitat asal haiwan ini telah banyak terganggu. Memaksa mereka untuk menghampiri dan berkongsi ruangan dengan manusia.

Kes Malaria di Malaysia semakin berkurangan. Pada tahun 1961, kes Malaria dilaporkan sebanyak 243, 870 berbanding tahun 2015 hanya sebanyak 2,311. Data berdasarkan Pelan Pengurusan Wabak Malaria 2016. 

Pada tahun 2016, sebanyak 1, 598 kes Malaria Monyet di kesan. Malaria adalah jangkitan parasit dan ada beberapa jenis malaria yang boleh menjangkiti manusia.

Malaria merebak melalui gigitan nyamuk Anopheles betina. Parasit yang masuk ke tubuh melalui gigitan tersebut akan bergerak ke hati melalui saluran darah. Di hati, parasit akan matang dalam tempoh 48-72 jam. Ia akan masuk semula ke saluran darah dan membiak. Lebih banyak sel darah merah akan dijangkiti.

Antara komplikasi ialah kegagalan buah pinggang dan fungsi hati, sel darah merah rosak, jangkitan kuman pada lapisan otak (meningitis) dan limpa pecah akibatkan pendarahan teruk (rupture of spleen).

Setakat ini tiada ubat untuk cegah malaria tetapi ubat anti malaria diberikan terutama di kawasan yang alami jangkitan malaria.

Cadangan langkah pencegahan ialah menggunakan kelambu di waktu malam, semburan dan penggunaan ubatan mencegah gigitan nyamuk.

Untuk yang gemar melibatkan diri dalam aktiviti di hutan atau berdekatan dengan monyet, tak salah untuk sentiasa ambil langkah berhati-hati. 

Untuk maklumat lebih terperinci berkaitan perkara ini, boleh layari portal MyHealth.

Sekian perkongsian untuk hari ini 😊






Wednesday, November 28, 2018

Berjirankan Malaikat

BERJIRANKAN MALAIKAT

‘ALHAMDULILLAH…’

Itu yang terdetik di ruang hati sebaik pintu rumah di buka, seolah simbolik bahawa perjalanan kami sekeluarga dari mengerjakan ibadah Umrah telah selesai. Perjalanan dirancang awal, mengerah banyak tenaga dan menimbulkan keresahan akibat bimbang pelbagai kemungkinan apatah lagi apabila turut membawa bersama tiga puteri. Si Bongsu baru menginjak usia empat tahun ketika itu.

“Letak beg semua ke tepi. Rehat sekejap. Biar anak-anak tidur dulu. Nanti kita kemas dan hantar baju-baju ke dobi”, kata Tuan Suami sambil menyusun beg pelbagai saiz di tepi pintu masuk. Beliau kemudiannya ke bilik untuk melepaskan lelah buat seketika.

Aku sendiri terduduk lesu di sofa. Namun berasa lega dan masih mengucapkan syukur atas perjalanan ini. Perlahan-lahan fizikal tubuh badan mula condong ke sisi hingga akhirnya berbaring dengan selesa. Mesej di terima pada telefon bimbit amat mengganggu deria pendengaran yang nyata menjadi lebih sensitif. Dengan mata separuh terbuka, aku mula membaca mesej terakhir yang diterima.

‘Salam. Dah sampai rumah, kan? Kami dah ada di depan rumah. Buka pintu. Kita buat makan sikit. Jangan risau, juadah dan minuman semuanya kami bawa’.

“Allah!”

Sebutan luar kawalan serentak dengan sepantas kilat aku melompat menuju ke muka pintu, dengan harapan iasekadar gurauan. Aku mengintai dari ruangan kaca bulat di pintu.

Sah! Jelas beberapa orang jiran bersama keluarga masing-masing berada di luar. Bekas-bekas makanan dan minuman juga ada bersama. Mujur pakaian aku masih lengkap termasuk tudung masih terletak kemas. Sambil menarik nafas, pintu dibuka perlahan. Senyuman manis aku berikan buat semua yang memandang. Mungkin aku gagal sembunyikan rasa gugup dan terkejut, sebaik memberikan salam mereka serentak senyum dan ada yang ketawa.

“Kami nak rai orang baru balik dari Tanah Suci. Tak mau tunggu lama, nanti barokahnya makin hilang. Sebab tu kami rancang nak sambut terus. Elok pulak sampai tengahari. Mesti lapar. Kami ada nasi putih, lauk dua tiga jenis, buah-buahan sikit dan air sirap. Tuan Rumah tak payah buat apa-apa. Kita makan bagi perabih semua. Senang cerita. Plastik sampah pun kami ada”, petah Tuan Haji yang berasal dari negeri di Utara serta merupakan Pengerusi Surau di kawasan kediaman kami.

Aku membalas senyuman mereka dan mengucapkan terima kasih yang tak terhingga. Aku mohon untuk memanggil Tuan Suami dan anak-anak yang pastinya sedang dibuai mimpi.

Kelam kabut Tuan Suami ke pintu utama dan memanggil semua yang ada untuk masuk ke dalam rumah sebaik sahaja aku maklumkan tentang tetamu yang ada. Mukanya masih nampak terkejut tetapi tetap meraikan semua jiran yang bertandang. Aku dan anak-anak telah mula menyapu ruangan depan yang berhabuk selepas ditinggalkan dalam tempoh dua minggu. Nasib baik rumah telah siap di kemas sebelum kami berangkat ke sana.

“Eh, bagi penyapu tu. Awak baru sampai, biar kami yang sapu depan ni’. Ujar Kak Hajah sambil merampas penyapu yang aku pegang. Penyapu di tangan anak-anak juga turut di ambil oleh Kak Wan dan Kak Kam. Anak-anak serentak memandang aku dengan wajah terkejut. Malu sebenarnya bila tiba-tiba diterjah sebegini dan tetamu pula yang tolong menyapu. Pada masa yang sama, golongan suami dan anak-anak lelaki sedang sibuk mengangkat bekas-bekas makanan disusun di meja makan. Semua kerusi dan meja kecil kami tolak ke tepi agar ruang tamu yang dijadikan ruangan makan menjadi lebih luas dan selesa.

Sekadar duduk bersila beramai-ramai, sedikit bacaan doa sebagai tanda syukur dimulakan oleh Tuan Haji. Bau nasi panas dan lauk pauk ringkas yang dimasak sendiri oleh beberapa jiran amat menambat selera kami kemudiannya. Sambil makan, pelbagai cerita yang dibualkan terutama pengalaman kami sekeluarga di Tanah Suci. Bagi Tuan Haji dan Kak Hajah, berulang-kali mengucapkan syukur dan rindu mereka pada Tanah Haram. Bagi yang tidak pernah ke sana, terserlah pengharapan untuk menjejakkan kaki di sana suatu hari nanti. Insya-Allah semua bakal dijemputNya nanti. Juadah kami diselang-seli juga dengan kurma dan air zamzam. Buah tangan wajib dari Tanah Haram untuk dinikmati bersama.

‘Ya Allah… Alhamdulillah aku bersyukur atas segala kurniaan Mu ini. Ku mohon Ya Allah, makbulkan semua permintaan mereka dan permudahkan segala urusan mereka serta jadikan mereka tetamu di Tanah Suci Mu sekerap yang mungkin. Mereka tidak kaya harta, Ya-Allah. Namun jiwa mereka kaya dengan kebaikan. Sesungguhnya mereka ini tidak lokek untuk membahagiakan sesama jiran tetangga. Maka Engkau rahmati dan berkatilah mereka sentiasa. Aminn Ya Rabbal A’alamin…’

Tak Pernah Tau Nama Dia

Sengaja berdiri di luar pintu pejabat, merehatkan mata yang terlalu lama mengadap skrin komputer. Melegakan juga belakang akibat terlalu lama duduk.

Tiba-tiba ternampak dia. Terus saya perhatikan langkahnya yang kebetulan sedang menuju ke laluan saya berdiri. Sah! Memang dia. Berjalan menunduk, namun langkah di susun teratur satu persatu.

Kali terakhir saya temuinya mungkin pada tahun 2001, ketika fasiliti di gymnasium masih dibuka kepada orang awam.

“Uncle! Wahhh, tiba-tiba ada sini. Ada sihat ka, Uncle?”, terus saya menyapa bila dia berada di hadapan.

Sedikit terkejut sebaik mengangkat muka dia terus tersenyum.

“Uncle baik-baik, selalu baik-baik saja. Wah, you lagi baik. Boleh tegur dan ingat sama ini orang tua. Uncle ingat sama you punya senyum”, jawabnya girang sambil kepala tertunduk-tunduk dan tangan kanan di dadanya.

Ketawa dengan jawapan spontannya, tangan kanan turut di angkat ke dada dengan sedikit tunduk hormat.

“Mesti ingat, Uncle. Dulu hampir setiap hari Uncle datang gym. Baguslah Uncle ni. Masih jalan tegak, nampak sihat. Masih rajin pergi gym?”

Sambil menampakkan gigi yang jarang, dia menjawab,

“Uncle tak pergi gym lagi, Uncle tak senang. Uncle banyak jalan sekarang. Ada masa Uncle jalan-jalan, pusing stadium. Kasi keluar peluh banyak-banyak”

“Wahhhh, bagus sungguh tu. Sangat bagus, Uncle. Berapa umur sekarang?”

“Uncle sikit bulan umur sudah 79. Tarak bagus duduk-duduk tidur saja. Uncle mau sihat. Mau gerak, mau jalan mana-mana tak payah kacau orang lain. Tak mau asyik minta orang bantu untuk gerak.... Eh, Uncle tak mau kacau you buat kerja. Uncle mau jalan dulu. Terima kasih ingat dan tegur Uncle. You punya senyum memang Uncle ingat. Terima kasih banyak, ya. Terima kasih” dia kembali tertunduk-tunduk, tangan kanan masih di dadanya dan tangan kiri melambai. Tak lekang senyumannya.

Terima kasih, Uncle. Semoga sentiasa diberikan kesihatan yang baik dan ceria dalam menjalani kehidupan seharian.

Terima kasih masih ingat senyuman saya TAPI... saya tak pernah tau nama dia...

Biar Anak Meneroka

Biarkan anak2 bermain untuk sentiasa sihat dan ceria.

Fitrah kanak-kanak untuk meneroka. Fitrah manusia untuk bergerak. Otot-otot atau bahagian badan yang tidak digerakkan akan turun puan untuk bergerak. Jika terlalu lama direhatkan, lama kelamaan ia mungkin tidak boleh digunakan lagi. Ini terutamanya berlaku di sekitar sendi-sendi badan dan pastinya menyukarkan pergerakan asas yang lain.

Perkongsian kajian di FB menunjukkan bahawa kanak-kanak yang terlalu dikawal pergerakan mereka boleh menyebabkan berlakunya rendah immuniti. Penggunaan sabun atau produk-produk antibakteria boleh mematikan bakteria baik yang melindungi badan.


Fitrah anak-anak untuk meneroka bagi menjawab banyak persoalan berkaitan persekitarannya. Biarkan mereka meluangkan masa berinteraksi dengan persekitaran. Kemampuan mereka menjawab persoalan sendiri mampu memberikan lebih keyakinan dan tahu menjaga diri untuk mengelak kemungkinan alami sebarang kecederaan.

Sekali sekala, biarkanlah anak-anak berkaki ayam di pasiran dan rumput. Biarkan tangan-tangan kecil mereka penuh debu. Ini yang akan meransang pergerakan dan menjadikan mereka lebih aktif dan cergas.

Tuesday, November 27, 2018

Kecergasan Kardiovaskular

Kecergasan merupakan kombinasi kecergasan fizikal dan kecergasan kemahiran pergerakan. Kecergasan boleh diringkaskan sebagai keupayaan seseorang untuk melakukan pelbagai aktiviti dalam tempoh yang singkat tanpa cepat rasa penat.

Kecergasan kardiovaskular berkait rapat dengan kemampuan sistem jantung dan pernafasan. Lebih cergas sistem kardiovaskular, lebih cepat darah beroksigen dapat sampai ke seluruh badan bagi melancarkan sesuatu pergerakan.

Daya tahan kardiovaskular pula merupakan kemampuan sistem pernafasan dan jantung untuk melakukan sesuatu pergerakan yang sama berulangkali meliputi sesuatu tempoh.

Untuk meningkatkan kecergasan kardiovaskular, mesti libatkan diri dalam sebarang aktiviti fizikal seperti berlari, berjalan kaki atau mungkin berenang. Setiap aktiviti dilakukan paling kurang 30 minit secara berterusan, tiga kali seminggu. Tambah jarak, kelajuan dan masa jika mampu.

Pelbagaikan aktiviti untuk elak kebosanan. Boleh juga libatkan diri dalam permainan sukan yang memerlukan kerahan tenaga seperti badminton, bola keranjang atau bola sepak.

Lakukan secara beransur-ansur, tetapi berterusan. Jangan bandingkan kemampuan diri dengan orang lain. Jangan terlalu memaksa diri jika baru mula melakukan aktiviti senaman.


Dapatkan nasihat dari mereka yang berkelayakkan jika ada alami apa-apa ketidakselesaan semasa atau selepas lakukan aktiviti.

Monday, November 26, 2018

Skipping

Sejak seminggu lalu, setiap kali sampai rumah pasti ini pintanya,

“Ummi, jom kita ke Decathlon. Saya nak beli tali skipping. Saya nak berlatih sebab saya tak pandai. Saya bayar guna duit saya ye”.

Itu pujukannya. Ummi sekadar angkat kening tanda tak janji. Dia menunggu Tuan Abah balik pula. Sebaik sampai di muka pintu, ayat hampir sama darinya.

“Abah, boleh ke Decathlon? Saya nak guna duit saya beli tali skipping. Saya nak berlatih sebab saya tak pandai. Nanti kalau ada sukaneka guna tali skipping saya dah pandai”.

Permintaan yang sukar ditunaikan sepanjang minggu. Tuan Abah sampai rumah biasanya sama waktu kedai hampir ditutup, mengira kesibukan traffik pergi dan balik.

Sabtu dan Ahad lalu agak sibuk, tidak dapat juga tunaikan permintaan si anak. Hari ini, dia kembali mengajak ke Decathlon. Aduhai, kasihan pula.

Saya selonggar kabinet dapur, berharap ada sepeket getah yang pernah di beli dahulu. Benar ada, maka bergotong-royonglah Ummi dan Kakak-Kakak menyusun jalinan getah.

Memori zaman kanak-kanak terimbau. Betapa gigih kami mencari dan mengumpul getah. Mencari kawan dan lawan untuk di ajak bermain. Mencipta pelbagai strategi untuk menang. Bergaduh bermasam muka kerana rasa pihak lawan tak patut menang. Dan kembali sambung permainan setelah masing-masing bertemu kembali selepas makan tengahari, lupa asbab pergaduhan tadi.

Tali getah telah siap. Bukan kepalang sukanya dia. Siap berebut dengan kakak-kakak. Ummi sekadar memerhati sambil tersenyum sendiri.

Hampir 90 minit, dari gagal melompat melebihi dua pusingan, dia berjaya melepasi 10 kali ulangan. Dan akhirnya 20 kali ulangan dalam tempoh dua jam. Badan basah berpeluh, dia tetap senyum sampai ke telinga.

Skipping melibatkan kemahiran psikomotor yang agak kompleks. Kombinasi pergerakan yang teratur antara kaki, badan, tangan dan peka pada posisi badan amat penting dalam menghasilkan lompatan yang lancar. Lebih cepat pusingan tali, lebih mencabar pada koordinasi badan.

Variasi tahap kesukaran juga boleh dipelbagaikan. Melompat dengan satu kaki, dua kaki secara serentak, lompatan setempat atau melangkah ke beberapa arah. Ikut kreativiti dan kemampuan masing-masing.

Skipping merupakan aktiviti berintensiti sederhana hingga tinggi. Ulangan yang berterusan dalam tempoh tertentu boleh bantu tingkatkan koordinasi tubuh serta membakar kalori, sesuai untuk sesiapa yang mahu mengurangkan berat badan. 

Namun, hentakan berterusan mungkin menimbulkan ketidak selesaan terutamanya pada lutut dan pinggang. Jika pernah sakit atau cedera pada bahagian ini, lakukan pergerakan dengan kawalan dan berhati-hati.

Sekarang hampir jam 11.00 malam. Dia masih lagi bersemangat melompat secara bergilir dengan kakak-kakak.


Dialog Lewat Petang

Telefon pejabat yang berdering di angkat. Dua telefon dikongsi kami bertujuh, harus peka tentukan telefon mana yang berdering. Perlu pantas, mana tau itu panggilan penting.

Pemanggil: Hello! Maaf ganggu, puan. Nak tanya kalau kami nak buat promosi produk kami yang sesuai untuk atlet dengan siapa kami perlu berhubung?

Saya: Biasa kena buat appointment dulu dengan person in-charge. Petang ni dia dah ada urusan lain. Nanti cik telefon balik, buat appointment terus. Kalau sesuai, akan buat arrangement untuk sesi penerangan kepada staf pulak.

Pemanggil: (dengan suara teruja) Ohhh, boleh ye? Ok puan, nak tanya ni. Tempat kerja puan ni bawah FAM ke?

Saya: (terkejut dengan soalan, terus tanya balik) Hah, apa?

Pemanggil: Errmm, tempat kerja puan ni ada kena mengena apa-apa dengan FAM ke?

Saya: (tak salah dengar rupanya. Tarik nafas dulu) Tak! Kami agensi bawah Kementerian.

Pemanggil: Oh, Kementerian... Nak tanya lagi, puan. FAM ni kan yang uruskan sukan-sukan macam OLAHRAGA, LARI semua tu?

Saya: (Tambah terkejut) Hah?

Pemanggil: Ok, ok. Takpe, puan. Nanti saya telefon person in-charge untuk buat appointment. Terima kasih.

Klik! Dan talian diputuskan.

Sekian.

🤦‍♀️🤦🏻‍♀️

Tahukah Anda?

Tahukah anda bahawa 1 daripada 2 remaja Malaysia tidak aktif melakukan aktiviti fizikal?

Tahukah anda bahawa 5.6 juta orang dewasa di Malaysia alami masalah berat badan berlebihan?

Tahukah anda dari jumlah ini, 3.3 juta alami obesiti?

Aktiviti fizikal paling mudah untuk dilakukan ialah dengan berjalan kaki. Ia tidak memerlukan belanja yang besar dan hampir boleh dilakukan pada bila-bila masa tanpa mengira tempat dalam tempoh sesingkat dua minit, dengan intensiti latihan yang betul.

Faedah berjalan memberikan kesan kepada badan dalam tempoh yang tertentu. Berjalan dua minit dapat bantu panjangkan usia. Berjalan dalam tempoh lima minit dapat membakar 1000 kalori seminggu dan berjalan selama 10 minit dalam meningkatkan kesihatan jantung.

Semua fakta ini adalah bersumberkan pada Kajian Tinjauan Kesihatan dan Morbiliti Kebangsaan (NHMS) yang dimuatkan dalam laman web www.myhealth.gov.my edisi Mac 2018.

Teruskan berjalan. Semoga sentiasa sihat dan cergas






Sunday, November 25, 2018

Mama

Mama adalah panggilan beliau guna untuk diri setiap kali bertemu dahulu. Selepas berkahwin, jarang sekali panggilan ini digunakan. Lebih banyak ‘Mak’ dari anak-anaknya maka itulah juga yang aku gunakan.

Awal perkenalan, banyak sekali cerita kebahagiaan yang dikongsi oleh anaknya. Cerita tentang kenduri yang kerap diadakan di rumah untuk sekadar merai rakan-rakan sepejabat gemulah Abah mahupun sekadar menjemput teman-teman rapat serta jiran tetangga.

Sebagai isteri pegawai polis, Mama memang petah berkata-kata. Boleh bercerita dan bersembang tentang pelbagai perkara mengikut perkembangan semasa. Mama berupaya mengajak sesiapa sahaja untuk bersembang dengannya, pandai memilih topik untuk mula bicara. Mama sentiasa dirai sepertimana beliau sering meraikan sesiapa sahaja yang ditemuinya.

Selepas gemulah Abah pencen dan kembali menetap di kampung, pelbagai aktiviti sibuk Mama terhenti. Untuk mengisi masa, ada ketika Mama turut serta dalam kumpulan Marhaban atau mengambil upah buat kuih di salah satu IKS yang berhampiran. Memang banyak IKS di sekitar kawasan rumah dan ada beberapa diusahakan sendiri oleh kaum keluarga juga.


Mama masih suka meraikan tetamu dan bersembang dengan sesiapa sahaja. Masih petah bercerita itu dan ini. Cuba sesekali pergerakan fizikal Mama agak terganggu akibat masalah kesihatan. Walau apa pun, didoakan Mama akan sentiasa sihat dan ceria. Sentiasa diberikan kerahmatan dan dipermudahkan segala urusan dunia dan akhirat.

Mula Kisah Cuti

Menung! Berat rasa hati. Jiwa yang sedikit kacau sejak beberapa hari lalu selepas berbincang dengan Tuan Suami, menjadi bertambah kacau selepas talian telefon diputuskan.

Hampir setahun merancang percutian. Memilih syarikat pelancongan ini kerana tertarik dengan pakej dan tempat yang akan dilawati. Cara pembayaran juga tidak terlalu membebankan dan segala persiapan akan mereka sediakan.

Namun setelah beberapa kali menghubungi mereka timbul sedikit kesangsian bila apa sahaja yang ditanya atau mahu dibincangkan, jawapan sebegini yang diterima,

“Ok Kak, jangan risau. Semua kami boleh selesaikan. Nanti kita bincang tak pun bila sampai sana nanti baru kita bincang betul-betul.”

Dan akhirnya kami memutuskan untuk membatalkan percutian kami dengan syarikat ini walau ada beberapa perkara yang telah pun di bayar.

Menung lagi memikirkan tentang percutian sekeluarga. Jadual kerja telah dikosongkan untuk tempoh tersebut. Untuk ubah lokasi, mau ke mana? Simpanan tidak banyak, pasti payah untuk dapatkan semula deposit yang telah dibayar.

Aha! Tiba-tiba teringat pada seorang sahabat ini. Nasib baik ada sahabat merangkap konsultan percutian tak bertauliah. Boleh cuba dapatkan maklumat darinya. Hidupkan sentiasa ada pilihan, pasti ada jalan selagi kita berusaha mencari.

‘Oit, jom gi cuti mana-mana. Nak? Kalau ke Perth untuk kami lima beranak agak-agak dalam berapa kena ada dalam tangan? Ingat nak bercuti ke sana hujung tahun nanti. Itu pun kalau bajet ok. Jom, nak?’

Ayat ringkas menerusi aplikasi whatsapp kepada Ena, sahabat sejak zaman persekolahan lagi. Ena banyak ke negara luar sama ada untuk urusan rasmi atau bercuti bersama suami.

Mereka berdua pernah ke Perth pada tahun 2014, sebagai kejutan sambutan hari jadi suaminya. Kebetulan syarikat penerbangan sedang adakan promosi harga tiket. Rezeki mereka hanya dikenakan RM1000.00 untuk perjalanan pergi dan balik untuk dua orang.

Kenapa Perth? Sebenarnya tak teringin pun nak ke sana. Tapi semata-mata niatnya nak bawa anak-anak tengok tempat orang, tambahan beberapa kali sebelum ini Ena asyik bercerita tentang cinta pandang pertamanya dengan Perth meliputi suasana, cuaca, budaya setempat, keindahan dan pelbagai lagi berkaitan Perth sentiasa membuatkan Ena berangan untuk kembali ke sana.

Lebih parah apabila Ena juga turut bercita-cita untuk menetap di sana walau hanya untuk beberapa tahun atas dua perkara utama; pendidikan sekolah anak-anak dan penerapan sosial yang lebih positif.

Ena pada awalnya tidak memberikan sebarang pengharapan kerana mereka suami isteri bercadang untuk bercuti keluar negara pada tahun hadapan, tahun ini matlamat utama hanya untuk penuhkan tabungan.

Selang beberapa hari kemudian, mesej Ena di terima,

‘Lakiku kata ok. Sebenarnya kami pun rindukan Perth’.

Ayat ringkas yang menghasilkan senyuman sampai ke telinga.

Saturday, November 24, 2018

Amalan Berkaki Ayam

Pada tahun 2015, salah sebuah akhbar tempatan telah menyiarkan hasil kajian yang dilakukan oleh Fakulti Sains Kesihatan New York bahawa amalan berkaki ayam mampu tingkatkan tahap keseimbangan badan, postur dan cegah kecederaan kecil yang selalu berlaku pada tapak kaki.

Otot kecil pada tapak kaki berperanan penting untuk pergerakan dan kestabilan badan, sama seperti otot-otot pada abdomen. Tindakan refleks menghasilkan pergerakan kaki apabila saraf di otot kecil menghantar isyarat ke otak.

Apabila kitaran ini terputus akibat keselesaan tapak kasut yang kita pakai, gangguan berlaku pada proses penghantaran maklumat. Tubuh gagal menilai situasi persekitaran yang sebenar. Ini menyebabkan tubuh lebih bergantung pada tendon, ligamen dan tulang untuk kestabilan keseimbangan. Ini secara tidak langsung meningkatkan risiko kecederaan dalam jangka masa panjang.


Kesimpulannya, lebihkan berkaki ayam di beberapa permukaan yang tidak rata dan berbeza untuk latih otot-otot kecil di tapak kaki. Ini agar kita lebih stabil dalam melakukan pergerakan seharian dan mengurangkan kesakitan serta kecederaan akibat postur tubuh yang salah.

Jam

Jalan-jalan cari makan, tiba-tiba ada yang menegur,

“Madam, I offer my tuk tuk. Let me take all of you. Only pay me 200 baht to Patong Night
Market. All can go now as it close at 12 midnight”.

Sambil memandang Ena, “Aku rasa takyah naik la. Kita jalan pusing-pusing sini je. Sekarang pun dah pukul 11.45 malam. Kang baru nak tengok, gerai dah tutup”.

Sambil buat muka menyampah Ena menjawab,” Jam engkau guna waktu Malaysia atau waktu sini?”

Heh! 😅

Tiada yang menarik

Cuti pertengahan penggal yang lalu kami berpeluang ke negara jiran nun di utara. Setiap awal pagi, kami akan berkereta menyusur jalan-jalan kampung bagi mencari sarapan halal bercirikan masakan tempatan.

Sedang menikmati sarapan di gerai yang dikelilingi pokok-pokok menghijau, ternampak beberapa pekerja sedang membetulkan jalan raya. Tiada apa yang menarik pada mereka ini. Sekadar bertiga membetulkan ruangan di tepi jalan kampung. Tidak langsung mengangkat muka selain masing-masing saling berkomunikasi menyudahkan tugasan.

Selang beberapa jam kemudian, kami bertembung lagi dengan mereka. Di bawah terik matahari tengah hari sedang melakukan perkara yang sama di kawasan yang berbeza. Agak jauh dari tempat pertama.

Pagi hari yang kedua, berpeluang melihat kerja yang diselesaikan mereka semalam. Beberapa tempat lagi telah bertanda, mungkin laluan kerja mereka untuk sepanjang hari tersebut.

Seperti saya nyatakan tadi, tiada apa yang menarik tentang mereka. Sekadar tiga orang pekerja di tepi jalan dan dua dari mereka adalah perempuan.

Memang tiada langsung yang menarik!

Hari Keluarga

Tak ingat jam berapa ketika enak di buai lena, Tuan Suami kejutkan untuk tutup tingkap. Tempias hujan mencuri ruang masuk ke kamar.

Seawal jam 6.30 pagi, kami perlu keluar menuju ke PD. Hari Keluarga bersama rakan-rakan sepejabat. Ada sebab tersendiri kenapa perlu diusahakan juga untuk ke sana. Walau Kak Ngah tidak begitu kuat akibat diarea dan Tuan Suami yang masih belum kebah sepenuhnya dari demam.

Perjalanan lancar. Masih belum ada kereta yang berduyun. Kami berhenti sarapan di RnR kerana Kak Ngah tak boleh dibiarkan perut kosong terlalu lama.

Sampai di PD, mencari tempat rakan-rakan berkumpul tidak sukar. Ikut sahaja maklumat yang dikongsi secara whatsapp. Terletak berhampiran dengan jalan besar dan di pantai, telah didirikan khemah lengkap bersama sempadan kawasan menggunakan bendera tiga segi berwarna-warni.

Ramai yang sampai awal bersama keluarga masing-masing. Bas sewa membawa rakan-rakan lain masih belum tiba. Awal lagi. 

Setelah mendaftarkan diri dan mendapat nombor untuk cabutan bertuah, kami diberikan sarapan nasi lemak telur berlauk sosej dan teh ‘o’. 

Setelah bas sampai, diikuti dengan ketibaan VIP berselang sepuluh minit kemudiannya. Program Hari Keluarga dimulakan dengan bacaan doa dan seterusnya ucapan serta gimik perasmian.

Acara dimulakan dengan sesi zumba. Macam-macam gaya timbulkan geli hati dan  tertawa sesama sendiri. Kumpulan petugas juga amat sporting. Melayan sahaja kerenah kami.

Acara sukaneka dimulakan dengan acara untuk anak-anak bawah enam tahun. Sangat comel gaya mereka mengikut arahan yang diberikan dengan bersungguh-sungguh. Acara kedua untuk anak-anak di bawah 12 tahun, bersungguh-sungguh bersaing sesama sendiri. Acara ketiga untuk anak-anak bawah 18 tahun. Hanya lapan orang, masing-masing agak malu-malu.

Program diteruskan dengan upacara untuk dewasa dan akhir sekali berpasangan. Cuaca cantik dengan langit membiru. Selepas pengumuman pemenang cabutan bertuah hadiah utama, juadah tengahari disediakan dan boleh santai bersama keluarga.

Ini keluarga kerja saya sejak sekian lama. Bersama mereka banyak yang telah saya pelajari dan lalui, walau menghadapi watak yang berbeza. Banyak yang telah diharungi. Banyak lagi yang perlu dihadapi.

Doa saya semoga semuanya sentiasa diberikan kekuatan dan dipermudahkan segala urusan di dunia dan di akhirat.





Friday, November 23, 2018

Ada Kaitan?

Selepas selesai urusan check-in di penginapan terakhir perjalanan ini, kami sepakat untuk berehat selama lebih kurang sejam. Hari telah malam dan masih hujan ketika itu.

Sambil kami menunggu lif untuk turun, Ena memandang kiri kanan lalu bersuara perlahan seolah berbisik,

”Bilik kome sebelum ni ada kejadian pelik? Tak boleh tidur aku dibuatnya malam tu”.

Hampir serentak bulat mata Kak Long dan Kak Angah terkejut. Masing-masing mula merapatkan diri ke arah kami.

Agak kehairanan aku bertanya, “Kenapa? Rasa macam ok. Mana ada kejadian pelik di bilik kami.”

“Aku tak boleh tidur. Bayangkan pukul 3.00 pagi tengah senyap sunyi tu tiba-tiba ada orang ketuk pintu, siap goyangkan pemegang pintu macam nak pecah masuk. Aku dah cuak, risau sungguh. Tak lama lepas tu bunyi air pulak kat bilik air. Macam mana aku nak tidur?”, Ena membuka cerita.

“Bilik sebelah kan ada orang. Mat Saleh lagi tu. Agaknya baru balik, tak sedar tersalah bilik. Dah jumpa bilik sendiri mesti terus mandi bersihkan diri sebelum tidur. Suka sangat fikir bukan-bukan”, sampuk Tuan Suami dan diikuti derai tawa.

Ena sekadar senyum tidak puas hati.

Esoknya semasa mahu memilih baju untuk dipakai, aku terkejut ada bau yang tidak menyenangkan dari dalam beg. Kehairanan kerana semua pakaian semasa dimasukkan ke dalam beg pada hari sebelumnya, masih wangi walau ada telah di basuh dua hari yang lalu. Hujan lebat tidak menentu menyebabkan pakaian basah tersidai lebih lama di beranda.

Apabila disuarakan kepada Tuan Suami, hanya jelingan sinis di terima.

Aku yakin dan pasti semasa dimasukkan dalam beg, baunya masih wangi. Kenapa amat berbeza sekarang? Kenapa baunya tidak melekat pada pakaian lain di dalam beg yang sama, hanya sehelai dua?

Teringatkan cerita Ena, timbul persoalan; adakah ia berkaitan?

Oh ya, beberapa foto di ambil dari beranda juga tidak dapat di kesan...

Thursday, November 22, 2018

Adab makan untuk kurus

Kalau boleh semua orang nak kurus. Macam-macam petua dan tips yang dikongsikan. Macam-macam produk dipasaran, sediakan duit sahaja. Untuk mengurangkan berat badan dengan sihat dan berpanjangan, perlukan disiplin. Berikut adalah panduan ringkas yang mungkin boleh diamalkan.

  1. Minum air dahulu sebelum mula makan. Air akan penuhi sebahagian ruangan dalam perut, menimbulkan rasa cepat kenyang.
  2. Makan buah-buahan atau sayuran dahulu sebelum makanan lain. 
  3. Makanlah TAPI berhenti sebelum kenyang. 
  4. Biarkan makanan lebih lama dalam mulut dengan kunyahan lebih lama. Biar makanan lebih halus agar deria dalam mulut berpeluang merasa makanan tersebut sebelum di telan. Penat mengunyah, mesti tak mahu makan lagi.
  5. Jika lapar antara waktu makan, cuba minum air. Kadang-kadang ia hanya indikasi terhadap rasa dahaga.
  6. Konsisten dan diamalkan secara berterusan.
Semoga bermanfaat serta terus kekal sihat dan cergas.

Cergas dengan sihat

Semua orang mahu jalani kehidupan yang lebih ceria, cergas dan bermakna. Namun, kadang-kala berlaku limitasi sama ada secara peribadi atau masalah lain yang menghalang.

Untuk nikmati kehidupan yang lebih cergas, ia adalah pilihan gaya hidup. Mulakan langkah kecergasan dengan sihat melalui amalan berikut:
  1. Lebihkan sayuran dan buah-buahan dalam menu seharian.
  2. Banyakkan minum air tanpa warna dan pemanis.
  3. Berpuasa lebih baik dari berdiet. Banyak kajian membuktikan berpuasa lebih memberikan manfaat kepada badan berbanding diet.
  4. Bangun lebih awal untuk mulakan hari anda lebih awal. Ini menjanjikan lebih banyak perkara untuk anda selesaikan sepanjang hari. 
  5. Pelbagaikan pergerakan dan perbanyakkan aktiviti fizikal. Pandai curi masa melakukan aktiviti fizikal sekerap mungkin sepanjang hari. Contohnya lebihkan berjalan dengan cepat, pilih petak parkir lebih jauh, gunakan tangga berbanding eskalator atau lif.


Semoga lebih ceria, cergas dan sihat!

Wednesday, November 21, 2018

Kabin Biru

Sejak lebih kurang sebulan yang lalu Kabin Biru menceriakan kami. Ia memberikan tambahan kepelbagaian menu terutama untuk makan tengah hari.

Menu utama yang menambat hati pastinya laksa utara. Ada juga juadah lain seperti nasi campur dengan pilihan lauk-pauk ringkas. Buah-buahan termasuk pelbagai jenis minuman dan jus pun ada. Pilih dan bayar saja.

Selera hari ini nasi ayam berempah. Sementara tunggu, leka mengadap skrin di telefon sehingga dihulurkan plastik berisi makanan.

“Eh dik, ada epal sekali?”, saya terus bertanya. Mana tau Si Jejaka tersalah masuk plastik, pelanggan yang sedang menunggu agak ramai.

“Ha’ah, Kak. Mak suruh bagi”

Errk! Hampir tersedak sambil menahan senyum.

Mak suruh yeee...
😍👍

Tuesday, November 20, 2018

Sekolah baru

Teman pun ada cerita

Hari itu memang dilanda kemurungan yang agak teruk. Malah berlanjutan sehingga beberapa hari kemudiannya.

‘Bulan depan kita pindah. Dekat sikit nak balik kampung. Tak jauh macam la ni.’ Kata-kata Mak sambil disambut sorakan oleh adik-adik seperti bunyi dengungan yang menyakitkan telinga.

Pindah lagi! 
Pindah lagi bermaksud harus berkemas masukkan barangan dalam kotak lagi, harus sesuaikan diri dengan suasana baru lagi, harus mula mencari kawan-kawan baru lagi dan paling pedih harus meninggalkan kawan-kawan yang ada sekarang.

Segala protes dan bantahan tidak sedikitpun dapat layanan dari kedua orang tua. Mahu atau tak, suka atau tak, segala urusan pertukaran telah pun diselesaikan. Sia-sia saja menangis di bucu katil sambil menyanyikan lagi Si Tudung Periuk.

Hari pertama mendaftarkan diri ditemani Lek. Sekadar seret kaki, malasnya mahu mulakan perkenalan mencari kawan baru. Memerhati kiri dan kanan, macam tiada yang menarik. Lek masih bersama Pengetua seolah membincangkan sesuatu.

“Jom balik dulu. Sehari dua ni tak payah sekolah lagi. Maknanya lepas cuti raya kita mai balik. Tunggu surat dari Jabatan dulu”, ayat dari Lek membuatkan senyum hingga ke telinga. 

Ketika itu sebenarnya hujung Ramadhan, dua hari sahaja lagi Aidilfitri. Maknanya lebih seminggu tak perlu ke sekolah. Horeyyy...


Dan, rupanya perkenalan dengan kawan-kawan baru tidaklah seteruk yang dibayangkan. Tempat baru ini mencorak kenangan yang menimbulkan pelbagai rasa. Rakan-rakan, guru, sekolah dan suasana persekitaran yang sentiasa menggamit memori. 

Senyum sendiri!

Ikon Kecergasan

Nabi Allah Muhammad adalah ikon sempurna yang harus menjadi idola kita. Dari aspek kesihatan dan kecergasan, Baginda banyak memberi contoh-contoh yang wajar menjadi ikutan.

Rasulullah amat mementingkan kebersihan dalam segala hal terutama berkait dengan ibadat.

Baginda juga melarang minum dalam keadaan berdiri. Dapatan kajian yang dilakukan membuktikan bahawa minum dalam keadaan duduk memberikan kelebihan pada badan. Posisi duduk melancarkan aliran air untuk diproses oleh badan, berbanding dalam keadaan berdiri seolah menyekat aliran air tersebut. Risiko untuk alami penyakit.

Rasulullah turut memberi panduan ketika makan iaitu berhenti sebelum kenyang. Satu pertiga dari perut kita diisi dengan air, satu pertiga dengan makanan dan baki satu pertiga lagi dengan udara. Ini untuk elak kita berasa terlalu kenyang dan berat sehingga sukar untuk lakukan pelbagai aktiviti lain terutamanya untuk beribadat.

Makanan juga seharusnya di kunyah sehingga lumat. Ada saranan setiap suapan di kunyah sebanyak 44 kali sebelum di telan. Ini agar membantu perut  memproses makanan dengan lebih cepat. Kunyahan yang banyak ini juga menyebabkan otot-otot rahang lebih cepat penat dan berhenti makan dengan segera.

Rasulullah seorang yang kuat dan cergas. Ini dapat dilihat dari kemampuannya berulang alik dari Gua Hira’ dan Mekah. Bukit yang perlu didaki untuk sampai ke gua agak tinggi. Berpasir dan berbatu. Agak sukar sebenarnya. 

Rasulullah juga gemar melakukan kerja-kerja seharian, menggambarkan tahap kecergasan Baginda yang amat baik dengan turut serta dalam semua kerja-kerja yang melibatkan aktiviti fizikal. Contohnya turut menggali parit semasa Perang Khandak.

Baginda dikatakan sering berlumba lari dengan isterinya. Sekadar untuk bergurau namun menunjukkan bahawa Baginda mampu mempelbagaikan aktiviti fizikal.

Rasulullah menyeru agar anak-anak diajarkan berkuda, memanah dan berenang. Ini kerana aktiviti-aktiviti ini membentuk kecergasan fizikal dan kecerdasan pemikiran dari pelbagai aspek. Aktiviti-aktiviti ini memerlukan konsentrasi yang tinggi dan daya tahan badan untuk menguasai kemahiran-kemahiran pergerakan yang perlu dilakukan.

Sungguh Baginda adalah idola sepanjang zaman. Semoga kita juga akan sentiasa sihat dan cergas seperti Rasulullah.


Salam Maulidur Rasul

Manfaat Berjalan

Memang diketahui umum bahawa berjalan kaki merupakan aktiviti fizikal yang agak mudah untuk dilakukan. Murah tanpa memerlukan pembelian pel...