Saturday, November 24, 2018

Hari Keluarga

Tak ingat jam berapa ketika enak di buai lena, Tuan Suami kejutkan untuk tutup tingkap. Tempias hujan mencuri ruang masuk ke kamar.

Seawal jam 6.30 pagi, kami perlu keluar menuju ke PD. Hari Keluarga bersama rakan-rakan sepejabat. Ada sebab tersendiri kenapa perlu diusahakan juga untuk ke sana. Walau Kak Ngah tidak begitu kuat akibat diarea dan Tuan Suami yang masih belum kebah sepenuhnya dari demam.

Perjalanan lancar. Masih belum ada kereta yang berduyun. Kami berhenti sarapan di RnR kerana Kak Ngah tak boleh dibiarkan perut kosong terlalu lama.

Sampai di PD, mencari tempat rakan-rakan berkumpul tidak sukar. Ikut sahaja maklumat yang dikongsi secara whatsapp. Terletak berhampiran dengan jalan besar dan di pantai, telah didirikan khemah lengkap bersama sempadan kawasan menggunakan bendera tiga segi berwarna-warni.

Ramai yang sampai awal bersama keluarga masing-masing. Bas sewa membawa rakan-rakan lain masih belum tiba. Awal lagi. 

Setelah mendaftarkan diri dan mendapat nombor untuk cabutan bertuah, kami diberikan sarapan nasi lemak telur berlauk sosej dan teh ‘o’. 

Setelah bas sampai, diikuti dengan ketibaan VIP berselang sepuluh minit kemudiannya. Program Hari Keluarga dimulakan dengan bacaan doa dan seterusnya ucapan serta gimik perasmian.

Acara dimulakan dengan sesi zumba. Macam-macam gaya timbulkan geli hati dan  tertawa sesama sendiri. Kumpulan petugas juga amat sporting. Melayan sahaja kerenah kami.

Acara sukaneka dimulakan dengan acara untuk anak-anak bawah enam tahun. Sangat comel gaya mereka mengikut arahan yang diberikan dengan bersungguh-sungguh. Acara kedua untuk anak-anak di bawah 12 tahun, bersungguh-sungguh bersaing sesama sendiri. Acara ketiga untuk anak-anak bawah 18 tahun. Hanya lapan orang, masing-masing agak malu-malu.

Program diteruskan dengan upacara untuk dewasa dan akhir sekali berpasangan. Cuaca cantik dengan langit membiru. Selepas pengumuman pemenang cabutan bertuah hadiah utama, juadah tengahari disediakan dan boleh santai bersama keluarga.

Ini keluarga kerja saya sejak sekian lama. Bersama mereka banyak yang telah saya pelajari dan lalui, walau menghadapi watak yang berbeza. Banyak yang telah diharungi. Banyak lagi yang perlu dihadapi.

Doa saya semoga semuanya sentiasa diberikan kekuatan dan dipermudahkan segala urusan di dunia dan di akhirat.





No comments:

Post a Comment

Manfaat Berjalan

Memang diketahui umum bahawa berjalan kaki merupakan aktiviti fizikal yang agak mudah untuk dilakukan. Murah tanpa memerlukan pembelian pel...