Friday, November 30, 2018

Manfaat Berjalan

Memang diketahui umum bahawa berjalan kaki merupakan aktiviti fizikal yang agak mudah untuk dilakukan. Murah tanpa memerlukan pembelian pelbagai barangan sukan lain dan boleh dilakukan dimana-mana sahaja.

Antara kebaikan berjalan selama 30 minit setiap hari ialah:
  1. Mengurangkan risiko penyakit jantung dan meningkatkan keupayaan sistem kardiovaskular
  2. Bantu kekalkan berat dengan pembakaran lemak badan melalui intensiti latihan yang secukupnya.
  3. Mengurangkan tekanan
  4. Boleh bantu meningkatkan kualiti tidur
  5. Tingkatkan tahap keseimbangan badan dan koordinasi
  6. Menguatkan tulang dan otot
  7. Meningkatkan kualiti hidup dengan merasakan diri lebih bertenaga dan ceria
  8. Melancarkan peredaran darah ke seluruh badan.


Semoga setiap langkah kita akan lebih memberi manfaat bukan sahaja kepada jantung, malah ke seluruh tubuh badan kita!

Anda Tau?

Berikut adalah anggaran tempoh masa yang diperlukan untuk proses pencernaan/ penghadaman makanan:

Sayur-sayuran antara 30-40 minit

Daging merah mengambil masa lebih kurang 180 minit.

Buah-buahan ambil masa antara 15-20 minit.

Air putih akan terus di proses, tanpa sebarang sekatan.

Kentang antara 90-120 minit.

Kekacang lebih kurang 180 minit.

Produk tenusu 120 minit.

Dengan mengetahui tempoh masa yang diperlukan untuk pencernaan/penghadaman, kita boleh rancang tempoh masa makan seterusnya atau masa untuk melakukan aktiviti senaman/fizikal supaya elak rasa tidak selesa pada perut.


Thursday, November 29, 2018

Hijrah

Belek-belek nota-nota lama di telefon, terjumpa nota dari ceramah Ustaz Elias Ismail hampir setahun yang lalu. Sekadar berkongsi dan moga bermanfaat.

HIJRAH kita adalah dari:
alam roh... 
alam rahim... 
alam dunia.... 
alam barzakh... 
alam kiamat... alam kebangkitan

Orang yang mati tidak semestinya akan ke kubur tetapi yang pastinya akan ke Barzakh.

Dalam Al-Quran, ada 28 kali perkataan HIJRAH dan salah satunya pada Surah An-Nisa ayat 100 maksudnya lebih kurang begini;

'Siapa yang berHIJRAH, maka Allah sediakan limpahan rezeki'

Haiwan penghijrah seperti Penyu dan Ikan Salmon juga menerima banyak limpahan rezeki. Sepanjang perjalanan sejauh 3,000km Penyu turut memberikan rezeki dalam pelbagai bentuk kepada manusia. 

Bangsa Jawa juga merupakan antara bangsa yang banyak berhijrah, maka sentiasa dikurniakan limpahan rezeki.

Panduan sebelum membuat keputusan:
1. Istiharah dengan Allah
2. Musyawarah dengan manusia terutamanya dengan ibu bapa.

Hidup mesti diteruskan, jangan takut untuk berhijrah, berpisah atau tidak berpeluang berjumpa lagi dengan orang-orang tersayang terutama sanak saudara. Paling penting; kita jumpa di Syurga nanti.

Berdoalah agar menjadi ibubapa yang sentiasa mudahkan urusan anak-anak. Jaga kesihatan diri sentiasa supaya nanti tidak jadi beban pada sesiapa.

Kerja makan gaji tak akan kaya sebab tertakluk pada 'Saya Yang Menurut Perintah'. Nak kaya, sila kerja sendiri dan buat peraturan sendiri. Hati-hati dengan salah guna barangan pejabat untuk kegunaan peribadi.

Hasil dari Penghijrahan adalah Rezeki.

Dalam hidup tidak ada yang mudah kecuali hati yang tabah.

Matlamat utama Hijrah ialah menuju ke arah:
1. Allah
2. Manusia
3. Kerja/alam/persekitaran
Semua kena seiringan.

Zaman Nabi ada seorang wanita yang rajin solat malam dan berpuasa di siang hari. Malangnya, dia menjadi penghuni neraka kerana suka bergaduh dengan jiran-jiran.
Jaga hubungan sesama manusia.

3 Golongan Yang Mendapat Balasan di dunia:
1. Derhaka kepada ibu bapa.
2. Golongan yang berbangga dengan kejahatan yang dilakukan.
3. Orang-orang zalim.
Aib di buka di dunia, tuhan bayar cash.

3 BENDA YANG KENA JAGA
1. Personal: jaga diri sendiri
2. Interpersonal: jaga diri dengan orang
3. Profesional: jaga diri dengan kerja

8 perkara berkaitan Hijrah:
1. Tambahkan ilmu: Haram biarkan diri dalam jahil
2. Tambah ibadah: bagi tuhan lebih sayang
3. Tinggalkanlah permusuhan
4.  Jaga pemakaian: aurat
5.  Tambah kenalan baru yang lebih soleh dan solehah
6.  Akhlak dan perangai makin bagus
7.  Kurangkan tidur: Rasullah berdoa agar dilimpahkan rezeki pada umat yang sentiasa berpagi-pagian
8. Meninggalkan sebarang bentuk penipuan.


Amal baik sebagai pencen akhirat.

Malaria Monyet

Sesi perkongsian ilmu di pejabat hari ini berkaitan Malaria Monyet (Malaria Knowlesi). Kita setakat ini hanya tau Malaria berkaitan dengan nyamuk. Kenapa Monyet? Kerana habitat asal haiwan ini telah banyak terganggu. Memaksa mereka untuk menghampiri dan berkongsi ruangan dengan manusia.

Kes Malaria di Malaysia semakin berkurangan. Pada tahun 1961, kes Malaria dilaporkan sebanyak 243, 870 berbanding tahun 2015 hanya sebanyak 2,311. Data berdasarkan Pelan Pengurusan Wabak Malaria 2016. 

Pada tahun 2016, sebanyak 1, 598 kes Malaria Monyet di kesan. Malaria adalah jangkitan parasit dan ada beberapa jenis malaria yang boleh menjangkiti manusia.

Malaria merebak melalui gigitan nyamuk Anopheles betina. Parasit yang masuk ke tubuh melalui gigitan tersebut akan bergerak ke hati melalui saluran darah. Di hati, parasit akan matang dalam tempoh 48-72 jam. Ia akan masuk semula ke saluran darah dan membiak. Lebih banyak sel darah merah akan dijangkiti.

Antara komplikasi ialah kegagalan buah pinggang dan fungsi hati, sel darah merah rosak, jangkitan kuman pada lapisan otak (meningitis) dan limpa pecah akibatkan pendarahan teruk (rupture of spleen).

Setakat ini tiada ubat untuk cegah malaria tetapi ubat anti malaria diberikan terutama di kawasan yang alami jangkitan malaria.

Cadangan langkah pencegahan ialah menggunakan kelambu di waktu malam, semburan dan penggunaan ubatan mencegah gigitan nyamuk.

Untuk yang gemar melibatkan diri dalam aktiviti di hutan atau berdekatan dengan monyet, tak salah untuk sentiasa ambil langkah berhati-hati. 

Untuk maklumat lebih terperinci berkaitan perkara ini, boleh layari portal MyHealth.

Sekian perkongsian untuk hari ini 😊






Wednesday, November 28, 2018

Berjirankan Malaikat

BERJIRANKAN MALAIKAT

‘ALHAMDULILLAH…’

Itu yang terdetik di ruang hati sebaik pintu rumah di buka, seolah simbolik bahawa perjalanan kami sekeluarga dari mengerjakan ibadah Umrah telah selesai. Perjalanan dirancang awal, mengerah banyak tenaga dan menimbulkan keresahan akibat bimbang pelbagai kemungkinan apatah lagi apabila turut membawa bersama tiga puteri. Si Bongsu baru menginjak usia empat tahun ketika itu.

“Letak beg semua ke tepi. Rehat sekejap. Biar anak-anak tidur dulu. Nanti kita kemas dan hantar baju-baju ke dobi”, kata Tuan Suami sambil menyusun beg pelbagai saiz di tepi pintu masuk. Beliau kemudiannya ke bilik untuk melepaskan lelah buat seketika.

Aku sendiri terduduk lesu di sofa. Namun berasa lega dan masih mengucapkan syukur atas perjalanan ini. Perlahan-lahan fizikal tubuh badan mula condong ke sisi hingga akhirnya berbaring dengan selesa. Mesej di terima pada telefon bimbit amat mengganggu deria pendengaran yang nyata menjadi lebih sensitif. Dengan mata separuh terbuka, aku mula membaca mesej terakhir yang diterima.

‘Salam. Dah sampai rumah, kan? Kami dah ada di depan rumah. Buka pintu. Kita buat makan sikit. Jangan risau, juadah dan minuman semuanya kami bawa’.

“Allah!”

Sebutan luar kawalan serentak dengan sepantas kilat aku melompat menuju ke muka pintu, dengan harapan iasekadar gurauan. Aku mengintai dari ruangan kaca bulat di pintu.

Sah! Jelas beberapa orang jiran bersama keluarga masing-masing berada di luar. Bekas-bekas makanan dan minuman juga ada bersama. Mujur pakaian aku masih lengkap termasuk tudung masih terletak kemas. Sambil menarik nafas, pintu dibuka perlahan. Senyuman manis aku berikan buat semua yang memandang. Mungkin aku gagal sembunyikan rasa gugup dan terkejut, sebaik memberikan salam mereka serentak senyum dan ada yang ketawa.

“Kami nak rai orang baru balik dari Tanah Suci. Tak mau tunggu lama, nanti barokahnya makin hilang. Sebab tu kami rancang nak sambut terus. Elok pulak sampai tengahari. Mesti lapar. Kami ada nasi putih, lauk dua tiga jenis, buah-buahan sikit dan air sirap. Tuan Rumah tak payah buat apa-apa. Kita makan bagi perabih semua. Senang cerita. Plastik sampah pun kami ada”, petah Tuan Haji yang berasal dari negeri di Utara serta merupakan Pengerusi Surau di kawasan kediaman kami.

Aku membalas senyuman mereka dan mengucapkan terima kasih yang tak terhingga. Aku mohon untuk memanggil Tuan Suami dan anak-anak yang pastinya sedang dibuai mimpi.

Kelam kabut Tuan Suami ke pintu utama dan memanggil semua yang ada untuk masuk ke dalam rumah sebaik sahaja aku maklumkan tentang tetamu yang ada. Mukanya masih nampak terkejut tetapi tetap meraikan semua jiran yang bertandang. Aku dan anak-anak telah mula menyapu ruangan depan yang berhabuk selepas ditinggalkan dalam tempoh dua minggu. Nasib baik rumah telah siap di kemas sebelum kami berangkat ke sana.

“Eh, bagi penyapu tu. Awak baru sampai, biar kami yang sapu depan ni’. Ujar Kak Hajah sambil merampas penyapu yang aku pegang. Penyapu di tangan anak-anak juga turut di ambil oleh Kak Wan dan Kak Kam. Anak-anak serentak memandang aku dengan wajah terkejut. Malu sebenarnya bila tiba-tiba diterjah sebegini dan tetamu pula yang tolong menyapu. Pada masa yang sama, golongan suami dan anak-anak lelaki sedang sibuk mengangkat bekas-bekas makanan disusun di meja makan. Semua kerusi dan meja kecil kami tolak ke tepi agar ruang tamu yang dijadikan ruangan makan menjadi lebih luas dan selesa.

Sekadar duduk bersila beramai-ramai, sedikit bacaan doa sebagai tanda syukur dimulakan oleh Tuan Haji. Bau nasi panas dan lauk pauk ringkas yang dimasak sendiri oleh beberapa jiran amat menambat selera kami kemudiannya. Sambil makan, pelbagai cerita yang dibualkan terutama pengalaman kami sekeluarga di Tanah Suci. Bagi Tuan Haji dan Kak Hajah, berulang-kali mengucapkan syukur dan rindu mereka pada Tanah Haram. Bagi yang tidak pernah ke sana, terserlah pengharapan untuk menjejakkan kaki di sana suatu hari nanti. Insya-Allah semua bakal dijemputNya nanti. Juadah kami diselang-seli juga dengan kurma dan air zamzam. Buah tangan wajib dari Tanah Haram untuk dinikmati bersama.

‘Ya Allah… Alhamdulillah aku bersyukur atas segala kurniaan Mu ini. Ku mohon Ya Allah, makbulkan semua permintaan mereka dan permudahkan segala urusan mereka serta jadikan mereka tetamu di Tanah Suci Mu sekerap yang mungkin. Mereka tidak kaya harta, Ya-Allah. Namun jiwa mereka kaya dengan kebaikan. Sesungguhnya mereka ini tidak lokek untuk membahagiakan sesama jiran tetangga. Maka Engkau rahmati dan berkatilah mereka sentiasa. Aminn Ya Rabbal A’alamin…’

Tak Pernah Tau Nama Dia

Sengaja berdiri di luar pintu pejabat, merehatkan mata yang terlalu lama mengadap skrin komputer. Melegakan juga belakang akibat terlalu lama duduk.

Tiba-tiba ternampak dia. Terus saya perhatikan langkahnya yang kebetulan sedang menuju ke laluan saya berdiri. Sah! Memang dia. Berjalan menunduk, namun langkah di susun teratur satu persatu.

Kali terakhir saya temuinya mungkin pada tahun 2001, ketika fasiliti di gymnasium masih dibuka kepada orang awam.

“Uncle! Wahhh, tiba-tiba ada sini. Ada sihat ka, Uncle?”, terus saya menyapa bila dia berada di hadapan.

Sedikit terkejut sebaik mengangkat muka dia terus tersenyum.

“Uncle baik-baik, selalu baik-baik saja. Wah, you lagi baik. Boleh tegur dan ingat sama ini orang tua. Uncle ingat sama you punya senyum”, jawabnya girang sambil kepala tertunduk-tunduk dan tangan kanan di dadanya.

Ketawa dengan jawapan spontannya, tangan kanan turut di angkat ke dada dengan sedikit tunduk hormat.

“Mesti ingat, Uncle. Dulu hampir setiap hari Uncle datang gym. Baguslah Uncle ni. Masih jalan tegak, nampak sihat. Masih rajin pergi gym?”

Sambil menampakkan gigi yang jarang, dia menjawab,

“Uncle tak pergi gym lagi, Uncle tak senang. Uncle banyak jalan sekarang. Ada masa Uncle jalan-jalan, pusing stadium. Kasi keluar peluh banyak-banyak”

“Wahhhh, bagus sungguh tu. Sangat bagus, Uncle. Berapa umur sekarang?”

“Uncle sikit bulan umur sudah 79. Tarak bagus duduk-duduk tidur saja. Uncle mau sihat. Mau gerak, mau jalan mana-mana tak payah kacau orang lain. Tak mau asyik minta orang bantu untuk gerak.... Eh, Uncle tak mau kacau you buat kerja. Uncle mau jalan dulu. Terima kasih ingat dan tegur Uncle. You punya senyum memang Uncle ingat. Terima kasih banyak, ya. Terima kasih” dia kembali tertunduk-tunduk, tangan kanan masih di dadanya dan tangan kiri melambai. Tak lekang senyumannya.

Terima kasih, Uncle. Semoga sentiasa diberikan kesihatan yang baik dan ceria dalam menjalani kehidupan seharian.

Terima kasih masih ingat senyuman saya TAPI... saya tak pernah tau nama dia...

Biar Anak Meneroka

Biarkan anak2 bermain untuk sentiasa sihat dan ceria.

Fitrah kanak-kanak untuk meneroka. Fitrah manusia untuk bergerak. Otot-otot atau bahagian badan yang tidak digerakkan akan turun puan untuk bergerak. Jika terlalu lama direhatkan, lama kelamaan ia mungkin tidak boleh digunakan lagi. Ini terutamanya berlaku di sekitar sendi-sendi badan dan pastinya menyukarkan pergerakan asas yang lain.

Perkongsian kajian di FB menunjukkan bahawa kanak-kanak yang terlalu dikawal pergerakan mereka boleh menyebabkan berlakunya rendah immuniti. Penggunaan sabun atau produk-produk antibakteria boleh mematikan bakteria baik yang melindungi badan.


Fitrah anak-anak untuk meneroka bagi menjawab banyak persoalan berkaitan persekitarannya. Biarkan mereka meluangkan masa berinteraksi dengan persekitaran. Kemampuan mereka menjawab persoalan sendiri mampu memberikan lebih keyakinan dan tahu menjaga diri untuk mengelak kemungkinan alami sebarang kecederaan.

Sekali sekala, biarkanlah anak-anak berkaki ayam di pasiran dan rumput. Biarkan tangan-tangan kecil mereka penuh debu. Ini yang akan meransang pergerakan dan menjadikan mereka lebih aktif dan cergas.

Manfaat Berjalan

Memang diketahui umum bahawa berjalan kaki merupakan aktiviti fizikal yang agak mudah untuk dilakukan. Murah tanpa memerlukan pembelian pel...