Wednesday, November 28, 2018

Berjirankan Malaikat

BERJIRANKAN MALAIKAT

‘ALHAMDULILLAH…’

Itu yang terdetik di ruang hati sebaik pintu rumah di buka, seolah simbolik bahawa perjalanan kami sekeluarga dari mengerjakan ibadah Umrah telah selesai. Perjalanan dirancang awal, mengerah banyak tenaga dan menimbulkan keresahan akibat bimbang pelbagai kemungkinan apatah lagi apabila turut membawa bersama tiga puteri. Si Bongsu baru menginjak usia empat tahun ketika itu.

“Letak beg semua ke tepi. Rehat sekejap. Biar anak-anak tidur dulu. Nanti kita kemas dan hantar baju-baju ke dobi”, kata Tuan Suami sambil menyusun beg pelbagai saiz di tepi pintu masuk. Beliau kemudiannya ke bilik untuk melepaskan lelah buat seketika.

Aku sendiri terduduk lesu di sofa. Namun berasa lega dan masih mengucapkan syukur atas perjalanan ini. Perlahan-lahan fizikal tubuh badan mula condong ke sisi hingga akhirnya berbaring dengan selesa. Mesej di terima pada telefon bimbit amat mengganggu deria pendengaran yang nyata menjadi lebih sensitif. Dengan mata separuh terbuka, aku mula membaca mesej terakhir yang diterima.

‘Salam. Dah sampai rumah, kan? Kami dah ada di depan rumah. Buka pintu. Kita buat makan sikit. Jangan risau, juadah dan minuman semuanya kami bawa’.

“Allah!”

Sebutan luar kawalan serentak dengan sepantas kilat aku melompat menuju ke muka pintu, dengan harapan iasekadar gurauan. Aku mengintai dari ruangan kaca bulat di pintu.

Sah! Jelas beberapa orang jiran bersama keluarga masing-masing berada di luar. Bekas-bekas makanan dan minuman juga ada bersama. Mujur pakaian aku masih lengkap termasuk tudung masih terletak kemas. Sambil menarik nafas, pintu dibuka perlahan. Senyuman manis aku berikan buat semua yang memandang. Mungkin aku gagal sembunyikan rasa gugup dan terkejut, sebaik memberikan salam mereka serentak senyum dan ada yang ketawa.

“Kami nak rai orang baru balik dari Tanah Suci. Tak mau tunggu lama, nanti barokahnya makin hilang. Sebab tu kami rancang nak sambut terus. Elok pulak sampai tengahari. Mesti lapar. Kami ada nasi putih, lauk dua tiga jenis, buah-buahan sikit dan air sirap. Tuan Rumah tak payah buat apa-apa. Kita makan bagi perabih semua. Senang cerita. Plastik sampah pun kami ada”, petah Tuan Haji yang berasal dari negeri di Utara serta merupakan Pengerusi Surau di kawasan kediaman kami.

Aku membalas senyuman mereka dan mengucapkan terima kasih yang tak terhingga. Aku mohon untuk memanggil Tuan Suami dan anak-anak yang pastinya sedang dibuai mimpi.

Kelam kabut Tuan Suami ke pintu utama dan memanggil semua yang ada untuk masuk ke dalam rumah sebaik sahaja aku maklumkan tentang tetamu yang ada. Mukanya masih nampak terkejut tetapi tetap meraikan semua jiran yang bertandang. Aku dan anak-anak telah mula menyapu ruangan depan yang berhabuk selepas ditinggalkan dalam tempoh dua minggu. Nasib baik rumah telah siap di kemas sebelum kami berangkat ke sana.

“Eh, bagi penyapu tu. Awak baru sampai, biar kami yang sapu depan ni’. Ujar Kak Hajah sambil merampas penyapu yang aku pegang. Penyapu di tangan anak-anak juga turut di ambil oleh Kak Wan dan Kak Kam. Anak-anak serentak memandang aku dengan wajah terkejut. Malu sebenarnya bila tiba-tiba diterjah sebegini dan tetamu pula yang tolong menyapu. Pada masa yang sama, golongan suami dan anak-anak lelaki sedang sibuk mengangkat bekas-bekas makanan disusun di meja makan. Semua kerusi dan meja kecil kami tolak ke tepi agar ruang tamu yang dijadikan ruangan makan menjadi lebih luas dan selesa.

Sekadar duduk bersila beramai-ramai, sedikit bacaan doa sebagai tanda syukur dimulakan oleh Tuan Haji. Bau nasi panas dan lauk pauk ringkas yang dimasak sendiri oleh beberapa jiran amat menambat selera kami kemudiannya. Sambil makan, pelbagai cerita yang dibualkan terutama pengalaman kami sekeluarga di Tanah Suci. Bagi Tuan Haji dan Kak Hajah, berulang-kali mengucapkan syukur dan rindu mereka pada Tanah Haram. Bagi yang tidak pernah ke sana, terserlah pengharapan untuk menjejakkan kaki di sana suatu hari nanti. Insya-Allah semua bakal dijemputNya nanti. Juadah kami diselang-seli juga dengan kurma dan air zamzam. Buah tangan wajib dari Tanah Haram untuk dinikmati bersama.

‘Ya Allah… Alhamdulillah aku bersyukur atas segala kurniaan Mu ini. Ku mohon Ya Allah, makbulkan semua permintaan mereka dan permudahkan segala urusan mereka serta jadikan mereka tetamu di Tanah Suci Mu sekerap yang mungkin. Mereka tidak kaya harta, Ya-Allah. Namun jiwa mereka kaya dengan kebaikan. Sesungguhnya mereka ini tidak lokek untuk membahagiakan sesama jiran tetangga. Maka Engkau rahmati dan berkatilah mereka sentiasa. Aminn Ya Rabbal A’alamin…’

No comments:

Post a Comment

Manfaat Berjalan

Memang diketahui umum bahawa berjalan kaki merupakan aktiviti fizikal yang agak mudah untuk dilakukan. Murah tanpa memerlukan pembelian pel...