Sunday, November 11, 2018

Cuti Hujung Minggu

“Jumaat nanti boleh cuti? Ikut kami ke Avillion. Ada bengkel sampai hari Ahad”, pertanyaan Tuan Suami dijawab dengan senyuman panjang dari telinga ke telinga.

Urusan pejabat, jika difikirkan memang tak kan pernah selesai. Rindukan suasana pantai dan laut, peluang yang sekali sekala datang usah di tolak.

Kami tiba di Avillion agak awal. Urusan check-in bermula jam 3.00 petang. Saya dan anak-anak hanya berehat di lobi sambil menunggu Tuan Suami balik dari solat Jumaat.

Seperti berjanji, Tuan Suami tiba hampir serentak bersama rakan-rakan sekerjanya yang turut disertai keluarga masing-masing. Agak meriah suasana di lobi kerana kami saling mengenali walau jarang bertemu. Bersalaman dan bertanya khabar sebelum masing-masing berpisah menuju ke bilik penginapan yang telah ditetapkan.

Sesi pertama Tuan Suami bermula selepas itu. Anak-anak berada di bilik masing-masing. Saya ambil kesempatan memahami dan meneliti semula nota-nota penulisan yang diberikan. Banyak yang perlu saya siapkan dan banyak yang perlu saya fahamj memandangkan kemampuan saya menulis masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan rakan-rakan yang lain. Angin laut dan deruan ombak menghanyutkan saya sepanjang petang sehingga tiba-tiba Tuan Suami muncul di muka pintu. Menandakan sesi pertamanya telah tamat.

Anak-anak melonjak kegirangan. Kerja Abah selesai awal. Maknanya ada banyak masa untuk diluangkan bersama, terutama di kolam renang. Saya turut sertai Tuan Suami dan anak-anak di kolam renang. Air laut teramat surut ketika ini, berada jauh di tengah, sayup mata memandang walau pemandangannya amat menarik sekali.

Selesai sesi makan malam, Tuan Suami meneruskan sesi bersama rakan-rakannya. Saya temani anak-anak berjalan di sekitar kawasan hotel dan menyusuri pantai. 

Timbul konflik apabila Si Bongsu mahu sertai rakan-rakan sebayanya menyaksikan tayangan video di bilik yang telah dikhaskan manakala kakak-kakak remaja tidak mahu berada di tempat yang tertutup.

Setelah dipujuk, masing-masing sepakat untuk bermain pingpong, berhampiran dengan kolam renang. Ummi sambung menulis lagi di bangku tepi kolam sambil menunggu.

Resmi anak-anak. Bila ada ketidakfahaman atau keletihan, pasti ada sahaja yang digaduhkan. Masing-masing mula mencebik dan jadi serba tak kena. Ummi hanya mendengar setiap aduan sambil memerhati muka masing-masing yang agak kemerahan. Mungkin akibat terlalu lama berendam petang tadi.

“Ummi, jom balik bilik. Kepala saya rasa pening. Macam nak demam”, Kakak Angah menghampiri saya.

Iya, memang sejak tadi Si Angah asyik bersin berkali-kali. Matanya kelihatan berair. Suhu badannya agak tinggi.

“Ok, jom balik bilik rehat sambil tunggu Abah. Esok baru kita sambung jalan-jalan kat sini”, serentak semuanya menggangguk. Saya menarik tangan Si Bongsu dan kakak-kakak serentak mengikut langkah kami.

Seawal jam 7.00 pagi keesokkannya Si Bongsu dah pun tercegat di hadapan pintu bilik kami. Katanya, “Jom cepat. Saya nak sambung mandi kolam dengan kawan-kawan”.

Selepas bersarapan, Tuan Suami kembali menyambung sesi bengkelnya dan saya menemani anak-anak di kolam renang. Si Angah kembali tidur di bilik kerana demam. Selepas sesi pertama hari ini, Tuan Suami akan bawanya ke klinik.

Sambil memerhati anak-anak di kolam, saya sambung bacaan dan carian maklumat untuk penulisan yang perlu dilakukan. 
Perhatian saya tertarik pada sekeluarga Melayu. Sepasang adik beradik. Si abang telah ada isteri dan anak perempuan berusia dalam lingkungan kurang 3 tahun. Isterinya juga sedang hamil. Anaknya amat rapat dengan Mak Sunya. Riuh suasana mereka asyik bergurau sesama sendiri di dalam kolam. Atuk dan nenek pula kelihatan ceria dan riang di tepi kolam menyaksikan keletah anak, menantu dan cucu. Sesekali mereka menghalakan kamera telefon dan meminta cucu beraksi dengan pelbagai gaya untuk dirakamkan.

Hampir jam 12.00 tengahari, kelihatan Tuan Suami bersama Si Angah. Hanya ke farmasi yang berdekatan. 

“Lepas makan tengahari nanti, rehat kejap. Dalam pukul 4.00 petang nanti semua berkumpul tepi pantai. Ada sukaneka”, kata Tuan Suami. 

Cuaca agak panas dan terik sehingga acara sukaneka dimulakan lewat. Pelbagai acara melibatkan semua staf dan keluarga. Paling comel melihat keletah anak-anak kecil yang hanya mengikut sahaja perlakuan rakan-rakan yang lebih besar, dengan harapan boleh menang. Semua hadiah adalah ‘lumayan’, sepertimana yang asyik diulang-ulang. Antara acara ialah mengasingkan beberapa jenis kacang dan rempah untuk kaum ibu, mengutip gula-gula untuk anak-anak dan menyambut belon berisi air berpasangan.

Sepertimana acara sukaneka lain, lebih banyak aksi bergelak ketawa dari bersukan. Hadiah lumayan yang dijanjikan? Tupperware! Memang lumayan sangat.

Aktiviti malam lebih santai. Hanya sesi makan malam, bergambar dan sedikit amanat dari Pengarah. Masing-masing bebas melakukan aktiviti tersendiri. Namun, ramai anak-anak kelihatan letih maka masing-masing hanya beraktiviti di bilik sahaja.

Awal pagi, sepertimana biasa Si Bongsu merupakan orang pertama bersemangat menunggu di depan pintu. Si Angah masih lagi demam tetapi nampak lebih bertenaga. Si Sulung pula mahu berjalan menikmati pesisiran pantai. Pagi terakhir sebelum kami pulang ke gagang.

Kami merupakan antara keluarga terakhir yang meninggalkan Avillion. Setelah beberapa tahun, pada saya Avillion tetap Avillion. Tak banyak yang berubah. Stafnya masih ramah menyantuni pengunjung. Setiap waktu makan, air minuman akan kerap diisi semula. Tetapi semakin lama ia tidak akan di isi lagi. Begitu juga dengan pinggan yang telah digunakan, akan cepat sahaja diangkat oleh staf. Walau adakalanya makanan masih belum dihabiskan.

Saya sukakan suasana di sini. Suasana kampungnya dengan rumah kayu dan pelbagai pokok yang menghijau. Suasana angin dan lautnya yang sentiasa mendamaikan. 

Walau apapun, hujung minggu dah habis. Sekarang masa untuk kembali tumpukan perhatian pada tugasan dan tanggungjawab hakiki.


Terima kasih atas kesempatan ini. Umur panjang dan jika ada rezeki lebih, semoga boleh ke sini lagi.

No comments:

Post a Comment

Manfaat Berjalan

Memang diketahui umum bahawa berjalan kaki merupakan aktiviti fizikal yang agak mudah untuk dilakukan. Murah tanpa memerlukan pembelian pel...