Thursday, November 8, 2018

HUJAN

Setiap kali cuti hujung tahun, tanpa gagal kami akan berada di kampung. Rutin Lek bagi memastikan kami tidak semakin jauh dari sanak saudara yang lain.

Lumrahnya juga, hujung tahun pasti membawa bersama musim tengkujuh. Rumah kayu beratap zink dan rumbia menjadi teramat meriah setiap kali hujan. Masing-masing peka memerhati atap. Meninjau mana-mana titisan hujan yang tembus. Jika ada, pantas berlari ke dapur di hujung rumah mengambil periuk, baldi atau timba untuk dijadikan tadahan. Bunyi titisan hujan menghasilkan irama tersendiri.

Di hari yang lain, kami sekadar menung di tepi tingkap kayu. Ambil kesempatan membiarkan tempias sejuk hujan pada muka. Kadang-kadang sengaja dihulurkan tangan dan dijulurkan kaki, atas alasan yang pelbagai.

Paling meriah bila masing-masing mula mengoyak dan melipat kertas dijadikan kapal. Dilepaskan satu per satu dari tingkap kayu. Bersorak girang jika ada kapal yang berjaya mendarat sempurna. Bertambah riuh jika ada yang mula belayar mengikut arah laluan air. Berpuluh kapal yang dilepaskan, tak banyak yang berjaya belayar. Ada yang terus terbalik sebaik mencecah tanah, ada yang hancur kebasahan.

Aktiviti ini akan dihentikan bila tiada lagi aliran air, kertas habis atau kedengaran suara nyaring,

“Ni sapa punya kerja buat sampah banyak-banyak ni, ha? Hamboih budak-budak ni. Tak dak kerja sungguh! Sat lagi hampa tak kutip balik, SIAP!”

Ada kenangan HUJAN? ☔️

No comments:

Post a Comment

Manfaat Berjalan

Memang diketahui umum bahawa berjalan kaki merupakan aktiviti fizikal yang agak mudah untuk dilakukan. Murah tanpa memerlukan pembelian pel...