Monday, November 26, 2018

Skipping

Sejak seminggu lalu, setiap kali sampai rumah pasti ini pintanya,

“Ummi, jom kita ke Decathlon. Saya nak beli tali skipping. Saya nak berlatih sebab saya tak pandai. Saya bayar guna duit saya ye”.

Itu pujukannya. Ummi sekadar angkat kening tanda tak janji. Dia menunggu Tuan Abah balik pula. Sebaik sampai di muka pintu, ayat hampir sama darinya.

“Abah, boleh ke Decathlon? Saya nak guna duit saya beli tali skipping. Saya nak berlatih sebab saya tak pandai. Nanti kalau ada sukaneka guna tali skipping saya dah pandai”.

Permintaan yang sukar ditunaikan sepanjang minggu. Tuan Abah sampai rumah biasanya sama waktu kedai hampir ditutup, mengira kesibukan traffik pergi dan balik.

Sabtu dan Ahad lalu agak sibuk, tidak dapat juga tunaikan permintaan si anak. Hari ini, dia kembali mengajak ke Decathlon. Aduhai, kasihan pula.

Saya selonggar kabinet dapur, berharap ada sepeket getah yang pernah di beli dahulu. Benar ada, maka bergotong-royonglah Ummi dan Kakak-Kakak menyusun jalinan getah.

Memori zaman kanak-kanak terimbau. Betapa gigih kami mencari dan mengumpul getah. Mencari kawan dan lawan untuk di ajak bermain. Mencipta pelbagai strategi untuk menang. Bergaduh bermasam muka kerana rasa pihak lawan tak patut menang. Dan kembali sambung permainan setelah masing-masing bertemu kembali selepas makan tengahari, lupa asbab pergaduhan tadi.

Tali getah telah siap. Bukan kepalang sukanya dia. Siap berebut dengan kakak-kakak. Ummi sekadar memerhati sambil tersenyum sendiri.

Hampir 90 minit, dari gagal melompat melebihi dua pusingan, dia berjaya melepasi 10 kali ulangan. Dan akhirnya 20 kali ulangan dalam tempoh dua jam. Badan basah berpeluh, dia tetap senyum sampai ke telinga.

Skipping melibatkan kemahiran psikomotor yang agak kompleks. Kombinasi pergerakan yang teratur antara kaki, badan, tangan dan peka pada posisi badan amat penting dalam menghasilkan lompatan yang lancar. Lebih cepat pusingan tali, lebih mencabar pada koordinasi badan.

Variasi tahap kesukaran juga boleh dipelbagaikan. Melompat dengan satu kaki, dua kaki secara serentak, lompatan setempat atau melangkah ke beberapa arah. Ikut kreativiti dan kemampuan masing-masing.

Skipping merupakan aktiviti berintensiti sederhana hingga tinggi. Ulangan yang berterusan dalam tempoh tertentu boleh bantu tingkatkan koordinasi tubuh serta membakar kalori, sesuai untuk sesiapa yang mahu mengurangkan berat badan. 

Namun, hentakan berterusan mungkin menimbulkan ketidak selesaan terutamanya pada lutut dan pinggang. Jika pernah sakit atau cedera pada bahagian ini, lakukan pergerakan dengan kawalan dan berhati-hati.

Sekarang hampir jam 11.00 malam. Dia masih lagi bersemangat melompat secara bergilir dengan kakak-kakak.


No comments:

Post a Comment

Manfaat Berjalan

Memang diketahui umum bahawa berjalan kaki merupakan aktiviti fizikal yang agak mudah untuk dilakukan. Murah tanpa memerlukan pembelian pel...