Sunday, November 25, 2018

Mula Kisah Cuti

Menung! Berat rasa hati. Jiwa yang sedikit kacau sejak beberapa hari lalu selepas berbincang dengan Tuan Suami, menjadi bertambah kacau selepas talian telefon diputuskan.

Hampir setahun merancang percutian. Memilih syarikat pelancongan ini kerana tertarik dengan pakej dan tempat yang akan dilawati. Cara pembayaran juga tidak terlalu membebankan dan segala persiapan akan mereka sediakan.

Namun setelah beberapa kali menghubungi mereka timbul sedikit kesangsian bila apa sahaja yang ditanya atau mahu dibincangkan, jawapan sebegini yang diterima,

“Ok Kak, jangan risau. Semua kami boleh selesaikan. Nanti kita bincang tak pun bila sampai sana nanti baru kita bincang betul-betul.”

Dan akhirnya kami memutuskan untuk membatalkan percutian kami dengan syarikat ini walau ada beberapa perkara yang telah pun di bayar.

Menung lagi memikirkan tentang percutian sekeluarga. Jadual kerja telah dikosongkan untuk tempoh tersebut. Untuk ubah lokasi, mau ke mana? Simpanan tidak banyak, pasti payah untuk dapatkan semula deposit yang telah dibayar.

Aha! Tiba-tiba teringat pada seorang sahabat ini. Nasib baik ada sahabat merangkap konsultan percutian tak bertauliah. Boleh cuba dapatkan maklumat darinya. Hidupkan sentiasa ada pilihan, pasti ada jalan selagi kita berusaha mencari.

‘Oit, jom gi cuti mana-mana. Nak? Kalau ke Perth untuk kami lima beranak agak-agak dalam berapa kena ada dalam tangan? Ingat nak bercuti ke sana hujung tahun nanti. Itu pun kalau bajet ok. Jom, nak?’

Ayat ringkas menerusi aplikasi whatsapp kepada Ena, sahabat sejak zaman persekolahan lagi. Ena banyak ke negara luar sama ada untuk urusan rasmi atau bercuti bersama suami.

Mereka berdua pernah ke Perth pada tahun 2014, sebagai kejutan sambutan hari jadi suaminya. Kebetulan syarikat penerbangan sedang adakan promosi harga tiket. Rezeki mereka hanya dikenakan RM1000.00 untuk perjalanan pergi dan balik untuk dua orang.

Kenapa Perth? Sebenarnya tak teringin pun nak ke sana. Tapi semata-mata niatnya nak bawa anak-anak tengok tempat orang, tambahan beberapa kali sebelum ini Ena asyik bercerita tentang cinta pandang pertamanya dengan Perth meliputi suasana, cuaca, budaya setempat, keindahan dan pelbagai lagi berkaitan Perth sentiasa membuatkan Ena berangan untuk kembali ke sana.

Lebih parah apabila Ena juga turut bercita-cita untuk menetap di sana walau hanya untuk beberapa tahun atas dua perkara utama; pendidikan sekolah anak-anak dan penerapan sosial yang lebih positif.

Ena pada awalnya tidak memberikan sebarang pengharapan kerana mereka suami isteri bercadang untuk bercuti keluar negara pada tahun hadapan, tahun ini matlamat utama hanya untuk penuhkan tabungan.

Selang beberapa hari kemudian, mesej Ena di terima,

‘Lakiku kata ok. Sebenarnya kami pun rindukan Perth’.

Ayat ringkas yang menghasilkan senyuman sampai ke telinga.

No comments:

Post a Comment

Manfaat Berjalan

Memang diketahui umum bahawa berjalan kaki merupakan aktiviti fizikal yang agak mudah untuk dilakukan. Murah tanpa memerlukan pembelian pel...