Air merupakan antara sumber penting yang diperlukan oleh tubuh badan kita. Anggaran kandungan air adalah sebanyak 75% dari berat badan. Ini membantu sistem badan berfungsi dengan lebih baik. Contohnya mengurangkan beban kerja organ seperti buah pinggang dan hati yang berfungsi mengeluarkan sisa buangan dan toksin dari badan.
Badan kita adalah jentera genius ciptaanNya yang mampu memberikan isyarat jika berlaku sebarang ketidaknormalan fungsi. Antara tanda kekurangan air ialah kulit terasa kering, badan letih atau lesu dan sakit kepala.
Minimum jumlah air yang diperlukan oleh badan hanya sebotol air mineral bersaiz besar (1.5 liter) sehari, jika tidak terlibat dengan aktiviti fizikal yang memenatkan. Jika lebih aktif bergerak atau sekiranya sedang hamil, jumlah pengambilan air perlu lebih banyak. Dianggarkan minum antara dua hingga tiga botol air mineral bersaiz besar adalah mencukupi.
Jangan hanya minum apabila rasa dahaga. Jangan minum secara berterusan sekaligus. Sebaiknya minum seteguk dua dan ulang dalam tempoh setengah jam atau 45 minit. Lama-lama secara tak sedar pasti habis satu botol air.
Tips jaga badan dengan minum air ialah sebelum makan, minum dahulu. Perut akan mengandaikan makanan telah diisi, jadi kita akan cepat terasa kenyang dan hanya makan dalam jumlah yang sikit.
Anak-anak pernah demam dan disahkan mengidap denggi. Bersyukur kerana ia dikesan awal. Pesan doktor, kawal suhu badan dengan pastikan mereka minum cukup dan kerap buang air kecil. Suhu akan keluar bersama air kencing.
Saya pastikan setiap 15-30 minit saya akan suapkan air ke mulut anak-anak antara 15-20ml, menggunakan syringe kerana masing-masing hilang selera makan dan sukar menelan. Paksa juga untuk telan walau mereka menangis. Dengan sendiri mereka akan ke bilik air dengan lebih kerap.
Alhamdulillah, demamnya tak lama dan paling penting tak perlu ke hospital.
Moralnya, minumlah! Semoga lebih sihat dan cergas.
No comments:
Post a Comment