Wednesday, November 14, 2018

Dia

Selepas solat Isyak, kami ambil keputusan untuk mengelilingi kawasan tersebut. Sambil menikmati kesegaran angin malam dan kagum dengan biasan lampu pada dinding, pandangan kami bertembung di tepi eskalator.    Dia senyum sambil beri isyarat, 'Sila naik dulu' dan kami sama-sama melangkah.

Dia masih merenung sambil tersenyum. Tak berminat untuk bercakap, sekadar membalas senyumannya dan kembali memerhati cahaya lampu pada dinding marmar. Cantik. Putih bersih bercahaya.

"Philipino?", dia mula bertanya. 

Masih tak berminat untuk berbual, sekadar senyum sepintas lalu dan menggeleng kepala serta kembali memerhati lampu.

"Hmmm... No, Philipino? Indonesia, ya?", dia masih cuba meneka.

Masih menggeleng kepala sambil ketawa kecil. Kasihan juga, bersungguh dia bertanya. Sambil tangan di dada dan sedikit menunduk, saya bersuara ringkas, "Malaysia".

Dia seolah terpinga. Macam pertama kali mendengar nama tersebut. Dia mengulang sebut beberapa kali sambil menggeleng. Berkerut dahinya tanda sedang berfikir atau cuba mengingat sesuatu.

Gelagatnya agak mencuit hati, namun kasihan juga. Tanpa sedar saya tersenyum. Saya ulang semula sebutan sambil tangan masih di dada,"Malayzie".

Tiba-tiba dia bertepuk tangan sambil ketawa gembira. Terkejut dan agak terpinga dengan perubahan drastiknya, 'Dah kenapa pulak orang ni?'

Kini tangan kanannya pula di dada, seakan mendabik dada sambil berkata,

"ANA PALESTINE! PALESTINE!", jelas ada kebanggaan dari sebutannya.

Kami sampai di hujung eskalator, beg yang saya sandang hampir terjatuh. Masih terkejut dipertemukan dengan dia. Beg saya betulkan di bahu dan kembali memandang ke sebelah untuk sambung berbual.

Kosong!

Dia telahpun berada jauh di hadapan. Seperti lipas kudung laju mencelah antara orang ramai. Kelu. Kagum. Pantas betul pergerakan dia dibandingkan dengan saiz badannya.

Kesal!

Diberi kesempatan untuk kenal insan terpilih sepertinya, tetapi peluang dibazirkan begitu sahaja. Semoga dia dan orang-orang yang disayanginya sentiasa dalam lindungan Yang Maha Esa...

No comments:

Post a Comment

Manfaat Berjalan

Memang diketahui umum bahawa berjalan kaki merupakan aktiviti fizikal yang agak mudah untuk dilakukan. Murah tanpa memerlukan pembelian pel...