Sunday, November 18, 2018

Cergas sambil-sambil

Sambil-sambil lipat baju yang menggunung; Luruskan kaki, duduk di lantai. Lapik bawah lutut dengan baju atau kain yang digulung jika rasa tidak selesa. Rasakan regangan pada bahagian bawah belakang dan kaki. Tambah terasa apabila perlu mencapai pakaian yang agak jauh. Teruskan melipat baju hingga habis.

Sambil-sambil basuh pinggan; jarakkan kaki dan bengkokkan lutut ala-ala pasang kekuda pendekar. Bengkok dan luruskan lutut berselang seli semasa membasuh pinggan. Pergerakan terkawal, jangan terlalu cepat. Boleh juga tahan pergerakan semasa dalam posisi rendah/lutut bengkok. Ulang. Lebih lama di tahan, lebih mencabar.

Sambil-sambil jalan kaki; meniti di pembahagi jalan. Susun langkah satu persatu. Cuba imbang badan. Badan tegak semasa melangkah dan bernafas seperti biasa. Mudah sangat? Cuba tutup mata tapi pastikan tiada kenderaan yang lalu lalang atau keadaan lain yang boleh membahayakan.

Sambil-sambil mop lantai atau menyapu sampah; letakkan kayu secara selari di bahu. Luruskan kedua-dua tangan dengan menahan kayu dari terjatuh. Bengkokkan badan ke sisi, serendah mungkin. Rasakan regangan di tepi badan. Selang seli antara kiri dan kanan. Jangan terlalu laju, pergerakan adalah terkawal dan bernafas seperti biasa.

Sambil-sambil tengok televisyen; cuba duduk bersila di lantai. Tanpa sentuh lantai atau lutut, cuba bangun dan berdiri tegak. Gunakan kaki kiri dan kanan secara berselang seli. Untuk tambah kesukaran, luruskan kedua-dua tangan ke atas, temukan kedua tapak tangan dan bangun.


Tarik nafas dan senyum! Semoga sentiasa sihat dan cergas.

No comments:

Post a Comment

Manfaat Berjalan

Memang diketahui umum bahawa berjalan kaki merupakan aktiviti fizikal yang agak mudah untuk dilakukan. Murah tanpa memerlukan pembelian pel...