Saturday, November 17, 2018

Kerja Pertama

Pengalaman kerja terima gaji pertama berlaku selepas sahaja peperiksaan SPM. Matlamatnya tidak mahu terperap di rumah dan mahu mencari wang untuk biaya kelas memandu. Ketika ini jumlah pembayaran tidak terlalu mahal, antara RM300-RM500 lebih sahaja. Bergantung pada jumlah kelas latihan memandu yang perlu diikuti.

Kenderaan saya ketika itu hanya basikal BMX yang dibeli menggunakan wang insurans, akibat kemalangan semasa berusia tiga tahun. Lama sungguh kes ini di mahkamah ketika itu. Jadi, saya hanya boleh bekerja di sekitar kawasan perumahan kami sahaja.

Berpusing-pusing dari satu kedai ke satu kedai bersama beberapa rakan untuk mencari kerja, tiada yang mahu ambil kami bekerja. Alasan tiada kerja kosong atau kami masih di anggap pelajar sekolah tidak dibenarkan bekerja.

Agak kecewa kerana ada rakan-rakan yang telah pun mula bekerja di bandar. Bertuahlah kalau dibenarkan ikut sama. Sudah agak bosan sebenarnya hanya terperuk di rumah tanpa sebarang aktiviti berbanding semasa di sekolah.

Tiba-tiba ada rakan sekelas memaklumkan bahawa pakcik pemilik kedai tempat dia bekerja sekarang setuju untuk terima seorang lagi pembantu.

Berbintang-bintang berserinya dunia ketika dimaklumkan perkara ini. Petang itu juga saya mengayuh BMX selaju mungkin ke kedai yang dimaksudkan, dekat sahaja dengan rumah. Tak sampai lima minit dah ada di depan pintu kedai.

Keesokkannya dengan bangga saya mula bekerja. Waktu kerja rasmi saya ialah dari 8.30 pagi sehingga 5.30 petang. Kedai ini menjalankan perkhidmatan fotostat dan menjual alatulis, diusahakan oleh pakcik berjanggut bersama isterinya yang sentiasa santun berlemah lembut. Saya tidak tahu nama mereka. Anak-anaknya seramai 3 orang ketika itu, masih terlalu kecil.

Setiap kali waktu makan tengahari, makcik akan belikan lauk pauk. Nasi akan dimasak di belakang kedai. Tanpa gagal, kami pasti akan dijemput makan dahulu sebelum keluarga ini menjamah makanan yang dihidangkan.

Kedua ibubapa ketawa dan minta saya berhenti semasa mengetahui gaji yang saya terima. Pastinya disambut dengan deraian air mata sambil menerangkan tujuan saya bekerja. Ketika itu kami berada jauh dari kampung. Jika saya ada lesen, pastinya boleh bergilir memandu dengan ayah. Adik-adik masih kecil. Akhirnya tiada sebarang bantahan.

Gaji saya sebanyak RM5.00 sehari, di bayar pakcik setiap kali sebelum balik. Inilah yang dikumpulkan dan di bayar sedikit demi sedikit pada kedai sebelah yang merupakan agensi kelas memandu. Sebenarnya tak cukup secara keseluruhan. Selepas lulus ujian memandu, saya masih berhutang dengan agensi tersebut. Nasib baik kakak kerani di kedai percaya saya akan bayar RM5.00 setiap hari.

Keputusan peperiksaan SPM diumumkan tidak lama kemudian dan saya diterima untuk melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam. Saya mohon untuk berhenti kerja dari pakcik dan masih pening kepala memikirkan cara untuk melangsaikan hutang yang ketika itu masih berbaki lebih kurang dua ratus ringgit.

Niat untuk belajar dan tak mahu susahkan keluarga pasti sentiasa dipermudahkanNya. Saya senyum meleret sebaik sampai ke rumah apabila Mak maklumkan tak perlu susah hati. Baki hutang belajar memandu kira langsai, ayah akan tolong bayarkan.

Alhamdulillah...

Senyum!

No comments:

Post a Comment

Manfaat Berjalan

Memang diketahui umum bahawa berjalan kaki merupakan aktiviti fizikal yang agak mudah untuk dilakukan. Murah tanpa memerlukan pembelian pel...